TPM

Dan (ingatlah) ketika Tuhan-mu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah, 30)

Ayat ini menyatakan Allah mencipta manusia dan meletakkannya di bumi untuk dijadikan khalifah di bumi. Ertinya inilah  tujuan penciptaan manusia.

Sebelum ayat 30 ini dua kali Allah menyebut tentang tiga golongan manusia. Pertama kalinya disebut dalam ayat 7 al-Fatihah dan kali keduanya disebut dalam ayat 2-10 al-Baqarah.


 Surah al-Fatihah

Sebelum ayat 7 al-Fatihah, Allah menyatakan Segala puji bagi Allah Tuhan Pentadbir alam (ayat 2), ertinya alam ini Dia yang mencipta, Dia yang mentadbirnya; dan apabila ayat 3 menyebut Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang menunjukkan atas sifat pengasih-Nya Allah menyediakan alam ini buat sekalian manusia. Namun atas sifat penyayang-Nya itu Allah berikan buat manusia yang beriman. Kerana situasi inilah maka ayat-ayat itu diikuti pula dengan ayat 4 Maaliki-yaumiddin, yang ertinya yang menguasai hari Akhirat. Bermaksud Allah menyediakan hari akhirat sebagai tanda keadilan-Nya, yang baik di balas syurga, yang jahat dibalas neraka.

Bagi mereka yang berbuat baik selama berada di dunia merasa amat bersyukur kerana kebaikan mereka tidak sia-sia, tetapi mendapat perhatian Allah dengan balasan syurga. Atas kesemua inilah maka manusia menyatakan Engkau-lah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah (ayat 5). Ayat ini merupakan suatu pengakuan dan ikrar untuk mengabdikan diri hanya untuk Allah.

Dan bagi mencapai pengabdian yang total lantas manusia memohon Tunjukkan kami jalan yang lurus (ayat 6). Lalu Allah menyebut Ikutilah jalan mereka yang dijanjikan nikmat (syurga), bukan jalan mereka yang dimurkai, dan bukan jalan mereka yang sesat.

Dengan kata lain, pengabdian yang hakiki ialah mengikut jejak mereka yang dijanjikan nikmat, bukan mereka yang dimurkai, dan mereka yang sesat.

Tiga golongan manusia

Secara tidak langsung ayat 7 ini menyatakan tiga golongan manusia, iaitu mereka yang dijanjikan nikmat (syurga), mereka yang dimurkai, dan mereka yang sesat.

Golongan yang dijanjikan Nikmat 

Kita biasa mendengar berita bahawa orang-orang terdahulu daripada kita, Allah mengurniakan nikmat-Nya (syurga). Ketika itu telah ada nabi-nabi, dan rasul-rasul yang diutus oleh Allah, dan telah ada juga para syuhada’,  juga orang-orang yang soleh, kerana itu kita memohon agar Allah mengurniakan jalan itu.

Inilah golongan yang Allah sebut dalam surah an-Nisa’ ayat 69, mereka ialah para nabi, orang-orang benar (siddiqin), para syuhada, dan orang-orang soleh. Mereka bukan sekadar beriman, tetapi mereka tegas berpegang kepada pendirian hidupnya. Mereka berjalan atas jalan kebenaran dengan ilmu, dengan amal, dan dengan istiqamah.

Golongan yang Dimurkai

Mereka ialah orang-orang yang diberi petunjuk, diutus kepadanya rasul-rasul, telah diturunkan kitab-kitab wahyu, tetapi masih menuruti nafsunya. Telah ditegur dan diperingat berkali-kali namun tidak dipedulikannya. Seolah-olah mereka merasa lebih pintar dari Allah, Rasul-rasul dicemuh, petunjuk Allah diketepikan, petunjuk syaitan yang diikutinya.

Golongan ini ada ilmu, mereka tahu kebenaran, tetapi mereka menolaknya, membelakangkannya, malah memanipulasinya.

Mereka tahu hukum-hakam, jalan yang benar, tetapi sengaja berpaling. Itulah sebabnya mereka dimurkai. Mereka seakan-akan memerangi kebenaran yang diketahuinya.

 Golongan yang Sesat

Golongan yang sesat ialah orang-orang yang membuat jalan-nya sendiri yang di luar garisan jalan Allah. Jalannya tidak mengikuti jalan kebenaran, tidak mengikuti maksud kebenaran yang sebenarnya. Mereka mengakui adanya Allah, namun mereka lebih cenderung mengikuti jalannya yang sesat. Sejarah mencatatkan, di Eropah pernah timbul satu gerakan bernama Deisme, di mana melalui penyelidikan akal mereka, mereka mengatakan Allah memang ada, namun mereka tidak mahu menerima idea kerasulan, atau wahyu, atau hari akhirat. Lalu mereka mengatakan, dengan percaya kepada Allah sahaja sudah mencukupi, tidak memerlukan agama.

 

Golongan Yahudi dan Nasrani

Diriwayatkan, satu hari seseorang bertanya kepada Nabi saw tentang siapakah orang yang sesat itu? Nabi saw menjawab Yang dimaksudkan orang-orang yang dimurkai ialah Yahudi, dan yang dimaksudkan orang-orang yang sesat ialah Nasrani.

Tetapi dalam kitab-kitab tafsir mengingatkan, yang wajib kita tekankan bukanlah Yahudi atau Nasrani itu, tetapi tentang ciri-ciri mereka.

Yahudi dimurkai kerana mereka selalu mengingkari segala petunjuk yang dibawa oleh rasul mereka, Nasrani tersesat kerana terlalu cinta kepada Nabi Isa al-Masehi lalu mengata-kan Isa adalah anak Tuhan. Tersesat.

Mereka ini dilihat sangat baik, ikhlas, ada semangat, tetapi sikap mereka tidak berdasarkan ilmu yang benar. Maka mereka tersesat di jalan yang mereka sangka benar.  Mereka beribadah, tetapi tidak mengikut petunjuknya. Mereka mahu kebaikan, tetapi tanpa asas. Maka mereka pun tergelincir, tanpa sedar. Tidak terkecuali golongan muslim tujuan ibadahnya tidak jelas.

Maka dari tiga golongan yang disebut oleh ayat akhir surah al-Fatihah itu Allah hanya meredai golongan mereka yang telah dijanjikan nikmat (syurga).

Apabila manusia memohon tunjukkan jalan yang lurus itu menunjukkan inilah mereka yang telah membuat keputusan memilih jalan mereka yang dijanjikan nikmat (syurga) itu, iaitu golongan yang memahami dan meyakini pengertian ayat-ayat sebelumnya iaitu ayat 1-5 al-Fatihah.

Rumusan

Sesiapa yang benar-benar memahami surah ini sepatutnya tahu bahawa surah al-Fatihah membayangkan Islam bukan hanya ibadah ritual, tetapi sebagai agama cara hidup. Jalan yang lurus ialah jalan hidup yang coraknya berlandaskan kepada idea ketuhanan mengikut ayat 1-4, dan pengakuan dalam ayat 5, bukan jalan yang dimurkai atau jalan orang yang sesat.

 Ayat 2-29 al-Baqarah: Menjadikan Khalifah

Tiga golongan itu tadi sekali lagi disebut oleh ayat 2-10 al-Baqarah.

Ayat 1 al-Baqarah menyebut Alif-laam-miim. Sesetengah ahli pentafsir menyatakan alif itu Allah, lam itu Jibril, dan mim itu Muhammad, manakala sesetengahnya pula menyebut kalimah ini hanya Tuhan sahaja yang tahu erti dan maksudnya. Saya tidak bercadang membincangkannya di sini.

Ayat 2 al-Baqarah menyebut tentang orang bertakwa. Ayat ini menyebut Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa. Ciri-ciri orang bertakwa disebut oleh ayat 3-5.

Ayat 6 al-Baqarah menyebut tentang orang kafir. Ayat itu menyebut Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. Lalu Allah menyatakan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar (ayat 7).

Ayat 8-10 al-Baqarah adalah tentang golongan munafik. Ayat 10 menyebut Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengaki). Ciri-cirinya disebut oleh ayat 8-10.

Kesimpulan: Surah al-Baqarah juga dimulakan dengan menyatakan tentang tiga golongan manusia. Apakah rahsianya? Atau apakah mesejnya?

Jika kita lihat seterusnya, bermula dengan ayat 11 al-Baqarah adalah menyatakan lebih lanjut tentang golongan munafik. Antaranya, disebut mereka adalah yang membuat bencana dan kerosakan di muka bumi (ayat 12), apabila diseru supaya beriman mereka menolak (ayat 13).

Lalu Allah menyeru Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang terdahulu supaya kamu kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa (al-Baqarah, 21). Seruan ini sejajar dengan ayat 2 al-Baqarah yang menyebut petunjuk kepada mereka yang (hendak) bertakwa.

Jadi ayat 21 al-Baqarah ini bermaksud menyeru manusia agar tidak tersilap memilih jalan: pilihlah jalan mereka yang bertakwa, buka jalan mereka yang kafir dan munafik itu.

Namun setibanya di ayat 30 al-Baqarah Allah menyatakan Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mengapa disebut khalifah? Mengapa tidak disebut orang bertakwa

Misi dan Visi Hidup

Ciri-ciri orang bertakwa, yang disebut di awal-awal musyaf (al-Quran) iaitu ayat 2-5 ialah:
i. Orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib, dan
mendirikan sembahyang, serta membelanjakan sebahagian dari
rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (ayat 3)
ii. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab al-Quran yang
diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab
yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan
(adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya) (ayat 4).

Jika kita amat-amati ciri-ciri orang bertakwa tersebut di atas menunjukkan ciri-cirinya lebih menekankan kepada keperibadian dirinya, seperti menjaga keselamatan dirinya dari murka Allah, menjaga kepentingan dirinya dari dosa, kecuali aspek membelanjakan sebahagian dari rezeki itu.
Ertinya, ketakwaan sahaja tidak menjamin manusia menjadi sebaik-baik manusia kerana misi dan visinya tidak menyeluruh mencakupi aspek-aspek kehidupan manusia dan alam ini. Membelanjakan sebahagian dari rezeki itu hanya satu daripadanya, ertinya ada lagi tanggungjawab lain yang tidak termasuk ke dalam misi dan visinya.
Berbanding dengan golongan khalifah itu: mereka ini bukan sekadar bertakwa, tetapi lebih dari itu, lebih baik dari orang bertakwa. Mereka inilah yang dijanjikan nikmat (syurga).
Ayat-ayat yang menyebut khalifah menunjukkan tugas dan peranan khalifah ialah berkait dengan menjaga orang lain, menjaga alam, mengurus bumi dan sebagainya. Ertinya misi dan visinya menyeluruh, tentang bertakwa, menjaga hubungan dengan Allah, hubungan manusia lain, malah menjaga bumi juga.

Ayat 165 al-Anam menyebut Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Ayat ini menyatakan tentang asal kejadian manusia bahawa setiap
manusia dikurniai dengan ketinggian darjat yang beberapa sahaja, dengan kata lain manusia adalah makhluk yang banyak kekurangan. Dengan asal kejadian ini manusia harus bergantung hidup antara satu sama lain bagi mendapatkan kehidupan yang sempurna. Ertinya sebagai khalifah antara tanggungjawabnya ialah membantu mereka yang kekurangan. Pendek kata seorang khalifah harus mempunyai sikap kepedulian kepada orang lain.
Ayat 74 al-Araf juga menyebut khalifah. Di hujung ayat ini menyebut Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi. Ayat ini memperlihatkan tanggungjawab seorang khalifah, berkait dengan alam ini.

Dua ayat ini memperlihatkan tanggungjawab seseorang khalifah lebih menyeluruh meliputi aspek menjaga manusia lain dan alam sekitar. Ertinya, menjadi khalifah adalah lebih baik dari orang bertakwa. Apabila dikaitkan dengan nikmat (syurga) ertinya seseorang khalifah adalah golongan sebaik-baik manusia. 
Walaupun orang-orang bertakwa disebut golongan mereka yang berjaya, tidak berlebihan jika dikatakan mereka berjaya masuk syurga setelah menjalani balasan di neraka bagi menebus dosa-dosanya kerana meninggalkan tanggungjawab ke atas alam ini, dan ke atas manusia lain. Berbanding dengan golongan munafik dan kafir itu yang akan kekal di neraka.
Kerana inilah Allah menyeru manusia supaya menjadi khalifah di bumi, kerana misi dan visinya menyeluruh, meliputi ketakwaan dan memberi faedah kepada orang lain seperti yang disebut oleh ayat 165 al-Anam dan ayat 74 al-Araf itu.

1 comment: