Mengapa Allah hendak menjadikan kita khalifah?
Ayat 2-5 al-Baqarah menyatakan tentang orang yang bertakwa, ayat 6-7 menyatakan tentang orang kafir, manakala ayat 8-27 tentang orang-orang munafik.
Orang-orang bertakwa ialah orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib, dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Allah berikan; beriman kepada al-Quran dan kitab-kitaab yang diturunkan sebelumnya.
Orang kafir ialah orang yang tidak mahu menerima wahyu petunjuk, jika diberi peringatan sekalipun mereka sama sahaja tidak akan berubah.
Orang-orang munafik pula mengaku beriman kepada Allah dan hari akhirat, pada hal sebenarnya mereka tidak beriman. Ertinya, mereka tahu hukum-hakam tetapi tidak mengikutinya.
Allah melihat mereka ini sebagai orang yang suka syak wasangka dan mendengki, maka Allah tambah lagi penyakit itu dengan azab seksa (al-Baqarah 10).
Apabila Allah memberi peringatan jangan membuat kerosakan di muka bumi, mereka tidak mengaku (ayat 11), hakikatnya mereka melakukan bencana dan kerosakan tanpa menyedarinya (ayat 12); apabila Allah memberi peringatan mereka kata ‘patutkah kami beriman seperti orang bodoh itu’.
Kesimpulannya, mereka ini Allah menyatakan sebagai orang yang pekak, bisu, buta (ayat 18); kalau diberi peringatan mereka menyumbat telinganya dengan jari (ayat 19).
Lalu Allah menyeru, ‘Wahai sekalian manusia! Beribadahlah kepada Tuhan kamu, yang telah menciptakan kamu supaya menjadi orang yang bertakwa (ayat 21), ‘Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu, menurunkan hujan, dan dengan air hujan itu dikeluarkannya buah-buah-buahan (ayat 22). ‘Kalau kamu menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran), cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran’ (ayat 23), ‘Kalau kamu tidak dapat, memang kamu sudah tentu tidak dapat, maka peliharalah diri kamu dari api neraka’ (ayat 24).
Ayat 25, Allah berfirman ‘Dan berilah kabar berita kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga’.
Bagi orang-orang fasik (ayat 26) ‘iaitu orang-orang yang merombak perjanjian Allah’, ‘mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi (ayat 27).
Lalu Allah menegur ‘Bagaimana kamu tergamak kufur’ padahal Dia-lah yang menjadikan kamu; ‘Dialah yang menjadikan untuk kamu segala yang ada dibumi.
Teguran itu diikuti pula dengan kenyataan ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi’ (ayat 30 al-Baqarah).
Jadi dari ayat 2 hingga 26 al-Baqarah itu menunjukkan tiga golongan manusia, iaitu 1. orang bertakwa, 2. orang kafir, dan 3. orang munafik. Orang kafir dan meunafik sikapnya tidak mengikut wahyu dan membuat bencana merosakkan bumi. Kerana itulah Allah menghendaki manusia menjadi khalifah, sebagai orang beriman, berpegang kepada wahyu. Dengan menjadi khalifah, kita akan terhindari dari menjadi munafik dan kafir itu.
Di sebalik fakta-fakta di atas itu, ada dua perkara yang dapat kita pelajari:
1. pasti kalian setuju untuk mengatakan ayat 2-30 al-Baqarah adalah ayat yang paling penting, kerana itulah diletak di awal-awal naskhah al-Quran, malah diletak pula di awal surah yang pertama dalam al-Quran.
2. Ertinya, kandungan al-Quran selebihnya iaitu bermula dari ayat 31 al-Baqarah hingga ayat terakhir al-Quran adalah tentang panduan menjadi khalifah.
3. Orang-orang yang mengikutinya dijanjikan syurga (al-Baqarah, 25).
No comments:
Post a Comment