Tidak dinafikan apabila disebut tujuan penciptaan manusia untuk dijadikan khalifah itu ramai antara kita melihatnya sebagai suatu idea baru. Barunya itu adalah kerana hampir kita semua tidak pernah mendengarnya; baru sekarang ini ditimbulkan.
Tetapi apabila dilihat dari sudut rujukannya bahawa idea-idea yang dimaksudkan itu ialah ayat-ayat al-Quran dan Hadis sepatutnya idea kekhalifahan ini juga usianya sejak turunnya ayat-ayat tentang khalifah itu, atau paling tidak sejak kehadiran Nabi saw, lebih 1400 tahun yang lalu. Tak mengapalah, yang penting untuk menjadi seorang Islam kita harus kembali kepada idea kekhalifahan itu.
Jadi jika hendak dikatakan ini adalah idea baru, memang tidak boleh dinafikan. Dengan demikian jika orang akan mempersoalkan bolehkah kita melakukan pembaharuan dalam Islam?
Terdapat beberapa hadis yang
menggambarkan boleh dilakukan pembaharuan agama (Islam).
Sebuah hadis riwayat Abu Daud
menyebut, Sesungguhnya Allah akan mengutus kepada umat
ini (umat Islam) pada permulaan setiap abad orang yang akan memperbaharui (memperbaiki) urusan
agamanya. (oleh Hurairah, status hadis
soleh). Dengan jelas hadis ini menyebut Allah akan mengutus orang yang akan memperbaharui urusan agama.
Jadi hadis ini boleh dilihat
sebagai legitimasi (pernyataan yang sah) boleh
dilakukan pembaharuan Islam.
Ini dilakukan sebagai upaya menangani
persoalan-persoalan yang timbul dalam
agama, dalam konteks permasalahan
dan dinamika yang sentiasa berkembang.
John L. Esposito mengatakan dalam
Ensiklopedi Oxford Dunia Islam Modern, tradisi
pembaharuan dalam Islam
dikenali dengan istilah tajdid. Secara
estimologi berasal dari kata jadda-yujaddidu-tajdidan,
yang bererti memperbaharui.
Dalam Bahasa Arab perkataan tajdid itu sendiri
merupakan satu bentuk mashdar
(sumber). Justeru tajdid itu boleh
diertikan sebagai gerakan pembaharuan dalam
kehidupan beragama; sama ada ianya dalam bentuk pemikiran maupun gerakan,
yang menjawab provokasi yang
menyangkut keyakinan dan urusan sosial umat.
Terdapat juga hadis yang senada dengan yang di atas ini.
Hadis Nabi saw menyebut Sesungguhnya pada setiap penghujung seratus
tahun, Allah
swt akan mengutus untuk umat ini orang yang akan memperbaharui agama mereka. Kalimah umat
ini bermaksud umat Islam.
Hadis Abdullah bin Amru al-Ash ra
Sesungguhnya iman yang ada dalam hati
salah seorang kalian bisa rosak sebagaimana baju bisa rosak, maka mohonlah
kepada Allah swt agar Dia memperbaharui iman dalam kalbu kalian. Kalimah iman
inilah yang disebut keyakinan itu
tadi.
Bersama dengan hadis-hadis di atas, ada beberapa landasan yang boleh dijadikan legitimasi bahawa tradisi pembaharuan sudah muncul sejak Islam hadir sebagai sebuah peradaban di Jazirah Arab.
Di sana sudah kedapatan
orang-orang Islam memberikan respon terhadap apa yang dipandang menyimpang dari
akidah. Atas sebab inilah tajdid mendapat
laluan dan pengesahan dari al-Quran.
Ayat 170 al-Araf menyebut, Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan
Kitab Allah serta mendirikan sembahyang; sesungguhnya Kami tidak akan
menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya). Keadaan
hidupnya bermaksud cara hidup
yang berlandaskan kebenaran mengikut
ayat-ayat al-Quran).
Ayat 117 Hud pula menyebut, Dan Tuhan-mu tidak sekali-kali hendak
membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka
sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri. Maksud ayat ini hendak memberi tahu betapa
pentingnya pemberi peringatan bagi
sesebuah negara.
Sejarah mencatatkan sebab merosotnya budi pekerti sesuatu umat jika tidak ada dalam kalangan mereka itu orang-orang yang disebut (ulu baqiyatin) dalam ayat 116 Hud, ertinya yang mempunyai dasar-dasar baik (ada terjemahan menyebutnya yang berkelebihan akal fikiran, ada juga yang menyebutnya peninggalan), yang berani membendung kemerosotan itu. Inilah yang disebut oleh ayat 116 itu Maka sepatutnya ada antara umat yang telah dibinasakan dahulu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya melakukan kerosakan di bumi.
Ayat ini menyerlahkan betapa
pentingnya ada orang-orang baik yang mewariskan
peninggalan jejak yang akan dikenang
oleh generasi-generasi akan datang, erti amar
makruf nahi mungkar sebagai jaminan keselamatan kaumnya. Kelihatannya
kenyataan ini menyangkut konsep berkongsi
kelebihan itu yang disebut oleh ayat 69 al-Araf itu.
Ayat 117 Hud di atas tadi menegaskan kalaulah ada orang-orang yang mempunyai peninggalan iaitu meninggalkan ajaran agar dunia ini jangan dirosak oleh perbuatan manusia, tidaklah akan terjerumus ke dalam lembah kehinaan. Lembah kehinaan ialah neraka.
Jadi boleh dilakukan pembaharuan
yang disebut tajdid itu tadi.
Sedar atau tidak, fakta di atas itu juga hendak menyatakan seseorang yang membaca al-Quran dan mengamalkan petunjuknya, ertinya dia adalah orang yang sentiasa memperbaharui Islamnya.
Misalnya, sembahyang adalah
ibadah dalam Rukun Islam, tetapi kewujudan ayat 110 al-Isra’ itu tidak
dijadikan petunjuk dalam sesi berjemaah; sebab membaca al-Quran itu dilakukan mengikut
tradisi nenek moyang yang sejak sekian lamanya.
Yang lebih penting lagi untuk
disedari iaitu ramai umat yang mengaku Islam tetapi tidak pula mempelajari idea tujuan penciptaan manusia, walhal ini adalah soal pokok yang
memandu bagaimana cara hendak menjadi seorang Islam.
Ibadah Nabi Musa tidak diredai
Allah, tahajud Abu Hashim juga demikian lantaran tujuannya tidak menjurus
kepada menegakkan idea tujuan penciptaan manusia. Inilah
fenomenanya iaitu ramai yang berpegang kepada fahaman bahawa beribadah untuk
faedah diri sendiri, walhal ini bertentangan dengan idea tujuan penciptaan manusia.
Apakah puncanya ramai orang Islam yang berpegang kepada fahaman bahawa melakukan umrah lebih aula, menderma untuk pembinaan masjid lebih penting dari membela asnaf dan anak yatim, dan sebagainya, Inilah antara yang digambarkan oleh penolakan ibadah-ibadah Nabi Musa itu.
Ada sebuah buku yang menyebut Sejarah mencatatkan pada zaman kedatangan Islam, terdapat banyaknya kepercayaan, mitos, konsep, falsafah tahyul, tradisi dan adat, yang cirinya kepalsuan bercampur aduk dengan kebenaran, yang salah dengan yang benar, yang karut marut dengan agama, dan mitos dengan falsafah, yang menyebabkan hati nurani manusia bercelaru, berspekulasi, yang tidak ada tanda-tanda akan reda.
Hari
ini kesan dan tempiasnya masih ketara. Lihat sahaja fenomena kehidupan manusia
hari ini: kehidupan manusia dipenuhi kejelekan-kejelekan seperti terjadinya
rasuah dan kelam-kabut, kezaliman dan penindasan, kesusahan dan kesengsaraan,
dan mementingkan diri sendiri. Kehidupan yang boleh disebutkan sebagai yang
bukan untuk manusia mahupun binatang.
Keadaan-keadaan inilah yang menyebabkan kehidupan manusia tidak mempunyai identiti yang jelas, kehidupannya tidak tentu hala kerana telah menyimpang dari jalan yang sepatutnya. Tidak terkecuali kesannya adalah terhadap ibadah-ibadahnya, sama ada ibadah yang khusus maupun ibadah yang umum.
Tajdid diperlukan bagi membersihkan amalan-amalan yang menyimpang dari ajaran-ajaran al-Quran. Misalnya, 110 Isra' itu melarang kita membaca kuat dalam sembahyang tetapi fenomenanya adalah sebaliknya. Walaupun ayat itu dikaitakan dengan sejarah dan umat-umat terdahulu misalnya, hakikatnya ayat itu masih kekal ada dalam naskah al-Quran sehingga hari ini, untuk kita mengambil pengajarannya. Apakah kita tidak boleh melakukan tajdid itu.
Ayat ini mengajar kita erti Jangan membuat bising. Jadi hukum-hukum yang melarang kita membuat bising itu ialah ayat 110 ini.
Dengan demikian kita harus melakukan suatu jihad, iaitu jihad meninggalkan kefahaman lama kepada kefahaman yang baru ini. Diakui memang sukar untuk melakukannya kerana yang lama itu telah berjalan sejak sekian lamanya, sudah mendarah daging, menjadi ikutan oleh entah berapa generasi tiba-tiba hendak melakukan anjakan paradigma.
Namun perubahan ke arah yang lebih baik harus dilakukan, pencapaiannya bermula dengan satu sebelum menjadi banyak. Tajdid.
InsyaAllah 'tajdid'. Apakah alasannya untuk menolaknya?
ReplyDelete